Isnin, 6 September 2021

Raja Gunung

 

Merasa terpanggil untuk mengulas sedikit satu jurnal yang diterbitkan pada tahun 1983 dalam Journal of South East Asian Studies / vol.14,no.1,Mar.,1983 oleh Robert Nicholl. Jurnal itu bertajuk Brunei Rediscovered : A survey of Early Times.

 

Apa yang menarik mengenai jurnal ini ialah tentang gunung Kinabalu.

Sekitar pertengahan abad ke 13, seorang ahli sarjana Arab yang agung, Ibn Sa’id, menulis sebuah buku “al-Ard atau Geographi”, dimana dia telah mengumpul banyak teks-teks kuno; antaranya ialah, catatan berikut, yang telah memberi petunjuk mengenai sejarah awal Brunei;

Orang Khemer tinggal bersama orang China di sebelah timur peta dunia. Perselisihan antara mereka dimana China telah mengusir mereka menuju ke suatu kepulauan dan berada disana dalam beberapa waktu. Nama raja disana ialah Kamrun. Selepas itu, mereka juga berbalah sesama mereka. Ada dikalangan mereka yang bukan dari kalangan keturunan Raja telah pergi ke Madagascar, dan Sultan mereka bernama Komorriya.

Robert Nicholl, dalam journalnya ini memberi komen berikut;

Terdapat beberapa kekeliruan dalam teks ini. Pertama, dikatakan bahawa orang Khemer telah diusir keluar oleh orang China ke kepulauan, berkemungkinan mereka adalah orang Melayu, yang dikenali oleh orang China sebagai Funan, yang sebenarnya telah diusir oleh orang Khemer bukan oleh orang China.

Kedua, bila orang Khemer telah diusir ke kepulauan, mereka bergaduh sesama mereka, satu kumpulan telah pergi dan menawan Madagascar. Penawanan Madagascar bermula dari wilayah Indonesia, seperti yang dinyatakan oleh Ferrad, tapi ia berlaku beberapa abad sebelum berakhirnya kerajaan Funan, sekitar abad ke tujuh masehi. Adalah juga dipercayai sebahagian daripada mereka, bukan ke Madagascar tapi ke Jawa Tengah, yang membina Borobudur dan kuil Kedu. Kemudian mereka membina empayar Srivijaya Sumatera.

Kumpulan orang Funan dari keturunan Raja yang dikatakan telah lari ke kepulauan dibawah Raja Kamrun, persoalan yang timbul kepulauan manakah yang mereka tuju. Ibn Sa’id ada jawapannya dalam satu lagi teks kunonya;

Sebaik saja menghampiri Bintan (selepas tiba dari China) telah menemui pulau Kamrun. Ia terletak di sebelah timur pulau Jawa (dalam konteks Javaga-Sumatra). Nama ibu kotanya, Kamrun, yang juga nama kepada rajanya, yang diwarisi secara turun temurun. Salasilahnya telah diberikan melalui percakapan dari pulau Komr(Khmer)…disebelah utara Kamrun, di temui gunung-gunung Camphor, yang mana jumlahnya gunungnya tidak terbilang. Mereka pun kelaut menggunakan kapal ke China. Kapal itu adalah milik Kamrun tapi telah di tawan oleh China, atau China telah menawan kapal berkenaan sebaik saja menghampiri pantai.

Penjelajahan China terhadap pergunungan Camphor, dan teks dibawah ini ditemui buat pertama kali dalam cacatan sejarah Brunei, tercatat nama Camphor. Al-Khazwini telah memberi lebih banyak maklumat mengenai perkara ini;

Gunung Camphor. Adalah sebuah gunung yang hebat di Indies, yang lebih tinggi dari paras laut. Di kaki gunungnya terdapat banyak pekan, salah satunya adalah Kamrun.

Pergunungan Camphor, sering dilalui oleh kapal-kapal yang menuju ke China, dan gunung Camphor yang hebat itu, yang muncul dari paras laut, tiada lain selain dari banjaran Kinabalu, yang dikatakan menjadi sumber utama camphor di Borneo.

Pergunungan Camphor telah digelar “kepulauan sebelah utara Kamrun. Bermaksud disebelah utara Kamrun, dimana orang Arab menggunakan perkataan “pulau” secara umum; samalah seperti Al-Idrisi berkata; “Pulau Champa(selatan Vietnam) hampir dengan Khemer(Cambodia). Kedudukan kedua tempat ini hanya kurang dari tiga batu.

Peranan kapur barus dalam sejarah Brunei ada diterbitkan dalam Journal Museum Brunei tahun 1979, secara terperinci.

Catatan sejarah Raja Kamrun diusir keluar dari Khemer, sekitar abad ke 680M, dia menuju dan menetap di sebelah barat Utara Borneo, selatan Gunung Camphor(Kapur Barus), banjaran Kinabalu. Lalu,dimanakah tempat yang dimaksudkan ini?

Petandanya ada dalam teks Tang Shu, yang menyatakan;

Chin-li-p’i-shih berada 40,000 li ke sebelah selatan barat dari bandar. Dari sana menuju ke Chih Wu Kuo ialah 2,000 li, kemudian ke sebelah barat Ch’ih T’u Kuo ialah sejauh 3,000 li. Disana terdapat bandar dan pekan dan juga dewan dan rumah tetamu. Mereka memakai baju “morning-red cloud cloth”. Pen-tao-yang-ya, mempunyai tentera yang lengkap dengan senjata dan baju perang, memakai kasut “Palmyra Palm bark”. Pakaian tradisi mereka dan alat-alat kelengkapan mereka sama seperti Chen-la

Lokasi Ch’ih T’u telah disahkan oleh Professor HSU Yun-ts’iao ialah Singora(Songkhla). Dato Braddel telah mengemukakan bukti yang kukuh bahawa P’o-li terletak di sebelah Barat Kalimantan iaitu di Bahagian Pertama Sarawak. Bermakna, Chin-L-p’i-shih berada disebelah utara dan sebelah timur Songkhla, berkemungkinan ia berada di sebelah pantai barat Borneo. Perkataan terakhir adalah penting: Disini, Raja Kamrun menetap setelah diusir oleh Khmer.

Kedua-dua pengkaji sejarah, Pelliot dan Ferrand percaya bahawa Chin-Li-p’i-Shih ialah pengasas kepada Shih-Li-fo-shih, merujuk kepada kerajaan Srivijaya. Pendapat ini sejajar dengan I Tsing(c.692) dimana dia menyenaraikannya sebagai pulau di sebelah barat Srivijaya(Palembang): “P’o-li, K’u-lun,Fo-Shih-pu-lo, dimana senarai terakhir merujuk kepada Vijayapura. Ia disalahertikan sebagai sama dengan Srivijaya. Catatan China menunjukkan Empayar Srivijaya sering disebut sebagai Srivijaya, tapi kadang-kadang juga disebut sebagai Vijaya.

 

Kedudukan Srivijaya Borneo boleh dilihat pada catatan Ajaib al-Hind,Kepten Buzurg ibn Shahriyar Ramhormoz. Dia menggambarkan ibu kota empayar Srivijaya Sumatra, yang dia sebut sebagai Ibu Kota Maharaja, sama dengan Sung Shih dalam Bahasa China. Ia merupakan sebuah ibu kota yang besar yang mempunyai bangunan-bangunan dibina diatas permukaan tanah, behampiran Palembang. Kemudian, dia juga mengatakan bahawa ujud lagi sebuah Srivijaya, dalam Bahasa arab Sribuza, jauh berbeza dengan ibu kota empayar Palembang.

 

Sribuza digambarkan sebagai sebuah kota yang terletak di hujung sebuah teluk, ada juga rumah dibina diatas pemukaan tanah. Ia sebuah Kawasan yang kecil, sekiranya sebuah rumah terbakar ia mudah merebak kerumah yang lain. Gambaran ini bukanlah merujuk kepada sebuah ibu kota yang besar. Bila para isteri betengkar, para suami akan akan keluar ke tempat lain dikota berkenaan.  Sribuza mempunyai rajanya tersendiri, yang membayar upti kepada Srivijaya.

 

Kepten Buzurg juga mengambarkan air pasang berlaku dua kali dalam sehari. Ia tidak merujuk kepada Teluk Brunei, air pasangnya berlaku lebih dari dua kali. Kepten Buzurg juga mengatakan air bersih mengalir dari tanah tinggi dan akan melalui beberapa rumah. Ini mengambarkan ia berhampiran dengan kawasan pergunungan dan kalau digabungkan dengan pandangan Wang Ta-yuan mengenai Brunei dan teks Tao I chih Lio, Srivijaya-Brunei terletak di sungai Lawas di sebelah timur teluk.

 

Kawasan ini merupakan kawasan yang paling sesuai bagi pelaut: sebuah pelabuhan berlatar belakangkan kawasan pergunungan di dataran.(Walaubagaimanapun, pada nota kaki jurnal ini,mengatakan bahawa tidak semua istilah Arab “Sribuza” merujuk secara khusus kepada Sribuza-Brunei, sedangkan ia lebih dekat dengan Srivijaya dan Vijayapura.

 

Berbalik kepada kota Kamrun, yang mana nama asalnya muncul dari pengaruh Srivijaya. Nama Kamrun masih jadi persoalan. Ferrad mengatakan bahawa ia adalah istilah Arab yang merujuk kepada K’un-lun dalam teks sejarah China, secara longgar juga merujuk kepada wilayah Indonesia secara umumnya. Kamrun juga merujuk kepada maksud yang lain, seperti gunung antara China dan India atau Assam di India.

 

Bagaimana pula teks sejarah kuno mengatakan Kamrun adalah sebuah dinasti? Ibn Sa’id mengatakan: “…Kamrun ialah gelaran seorang Raja yang mempunyai salasillah.”

 

Jawapan kepada persoalan ini ada dijawab oleh seorang pengkaji terkini, Doktor Saveros Pou, yang mengatakan bahawa Kamrun adalah kata asal Bahasa Arab, Kurung, sebahagian dari gelaran Krung bhnam, bermakna Raja Gunung Saliendra, pengasas kepada Sarvabhaauma atau penguasa Funan.

 

Nicholl membuat kesimpulan bahawa, bila Funan akhirnya runtuh akibat serangan Khmer, keluarga Saliendra dan pengikut-pengikutnya belayar ke Borneo, sekitar 680M, dan menetap di Teluk Brunei di kuala sungai Lawas. Disini mereka membina inu kota baru Srivijaya, yang selepas itu dinamakan sebagai Burni dan teks China menyebutnya sebagai P’o-ni atau Fo-ni. Ibu kota ini kekal disana sehingga era kedatangan Islam pada tahun 1515, dimana ia berpindah ke tempatnya sekarang, Brunei Darussalam.

 

Pendapat saya, kota Srivijaya-Borneo ini bukan terletak di Lawas tapi berhampiran dengan kaki gunung Kinabalu. Illustrasi kota ini digambarkan sebagai sebuah tempat yang dibina dipesisir pantai, ujud sebuah penempatan, dimana ada juga rumah dibina diatas permukaan tanah dan sesuai sebagai pelabuhan. 

Berlatar belakangkan gunung di daratan dimana mengalir air bersih dari tanah tinggi melalui Kawasan perumahan. Kedudukan Lawas tidak mengambarkan illustrasi ini kerana terletak jauh dari pergunungan. Bagi saya kawasan pesisiran Pantai Barat Sabah lebih tepat, kerana Gunung Kinabalu berada dibelakangnya. Beratus tahun dahulu, laut mendekati kaki gunung Kinbalu.

 

MungkinkahKudat,Kota Belud,Tuaran,Mengkabung

Saya hanya ingin melontarkan persoalan, tentang pernah ujud sebuah kerajaan kuno Saliendra-Srivijaya di tempat kita.

 

Terakhir, Terdapat satu laporan mengenai penduduk yang mendiami Gunung Kinabalu. Dalam Dao Yi Zhi Lue disebut bahawa:

 

“Gunung Long Shan (Gunung Naga) terletak di sebelah kanan Bo Ni [Brunei]. Di situ tanahnya rata lagi luas dan cuacanya sejuk nyaman. Adat penduduknya suka berhias. Baik lelaki mahupun perempuan rambut mereka disangul dan pinggang dililiti dengan kain yang berwarna-warni dan mereka juga memakai pakaian yang berwarna-warni juga. Mereka menganut agama

Budha dan menyukai orang Cina. Jikalau berjumpa dengan orang Cina yang mabuk, mereka mesti memapah orang itu pulang ke rumahnya. Di situ ada ketua kampung dan beliau akan melantik seorang yang pandai mengira untuk memegang bahagian kewangan, bahagian pemungutan cukai dan jawatan kerani, dan kewangan diteliti dengan jelas sekali. Hasil tempatan ialah sejenis kemenyan, madu lebah, penyu sisik, dan kapur barus.

Barang-barang perniagaan lain ialah seperti perak putih, emas tulin, kain sustera, beg kulit kecil, dan alat-alat besi.”24 Gambaran yang diberikan menunjukkan bahawa penduduk yang mendiami kawasan Gunung Kinabalu adalah berketurunan Cina. Ini boleh dilihat dari segi pentadbiran perniagaan penduduknya sama ada dari segi pengurusan kewangan dan barang perniagaannya yang berasal dari negeri China seperti kain sutera. Ini menunjukkan kawasan Gunung Kinabalu adalah sebahagian wilayah jajahan Brunei yang didiami oleh penduduk yang berasal dari China yang sekarang dikenali sebagai etnik Kadazan-Dusun. Hubungan etnik ini dengan bangsa Cina masih boleh ditemui   dalam tradisi lisan etnik tersebut. Laporan China itu telah menyokong kebenaran sumber lisan tersebut tentang sejarah awal etnik tersebut. (Tesis:Sejarah Pengasasan Dan Asal Usul Kerajaan Brunei Berdasarkan Sumber Lisan.Hj Abdul Karim Bin Haji Abdul Rahman.2016.)

 

Teks sejarah China ini sekitar 1082M, sudah ada penempatan manusia di Kinabalu, sedangkan pengaruh Saliendra-Srivijaya, mengikut teks kerajaan kuno Chin-li-p’i-shih atau Srivijaya Borneo pada abad ke Tujuh M. Berlaku lompang sejarah di Borneo. Yang pasti Kinabalu sebagai gunung yang tertinggi di Asia Tenggara,malah di Borneo, tidak hairan Raja Gunung Funan dari Saliendra, Raja Kamrun akan mencari juga kawasan pergunungan, dan Gunung Kinabalu seolah memanggilnya. Siapakah yang bersamanya yang membina kota kerajaan Srivijaya-Borneo di Kawasan pesisir pantai itu. Seorang ahli sejarah Arab, Ibn Inu Al Faqih mencatat dalam kitab al-Buldan menyebut bahawa antara benua Indai ke benua China (Alam Melayu) terdapat sebanyak 30 kerajaan. Raja yang paling kecil, paling miskin memiliki apa yang dimiliki oleh Raja Arab ketika itu. (Sumber dari Majalah The Patriots)

Banyak persoalan belum terjawab. Apapun dalam kajian literasi, belum cukup kuat tanpa sokongan kajian akreologi.Mungkinkah ada misteri yang masih belum terungkai digunung Kinabalu, disebalik keindahannya dari kejauhan dan diselubungi oleh flora dan faunanya. Wallahualam.

Roslan M.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan